27 March, 2009

AIR MATA SAHABAT.. .Berat mata memandang...

Pn. A, antara sahabat baik saya di sekolah. Tanggal 30 Disember 2008 ,beliau kehilangan insan yang tersayang iaitu suami beliau buat selama-lamanya . Saya melihat air matanya yang tumpah tidak henti-henti tatkala bercerita tentang saat-saat terakhir pemergian suaminya itu. Air matanya juga terus merembes jika mengenang kembali kisah-kisah ketika hayat Allayarham masih ada. Saya juga tidak dapat menahan sebak melihatnya, tetapi, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Di bumi Johor ini, beliau meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya bersendirian. Tabahnya beliau! Kini, air matanya tumpah lagi.. Beliau diuji lagi. Kakaknya pula disahkan menghidap kanser tahap 4 dan kini dirawat di ICU, bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan... Tabahkan hatimu wahai sahabat...

23 March, 2009

MENGHANTAR HADI KE SAMURA

Hari ini Hadi (permata hati 3) mendaftar di SM Sains Muar untuk pengambilan kedua. 109 tempat yang disediakan dan 82 pelajar yang telah mendaftar semasa taklimat diberikan oleh Pengetua, Tn Hj Samian. Lebih banyak pelajar lelaki. Bagus sekolah ini dari segi disiplin dan akademik (SPM), nombor 1 antara SBP di Johor untuk 4 tahun berturut-turut. Semoga Hadi berjaya menyesuaikan diri dan mencapai impiannya di sana.Tinggal dua lagi permata hatiku di rumah.

19 March, 2009

DIARI HATI CIKGU ANI BP

21 tahun atau dua dasawarsa atau dekad bergelar sebagai "cikgu", banyak suka duka, pahit maung, dan sepak terajang yang telah saya hadapi. Semakin lama, semuanya itu mematangkan pemikiran dan tindakan. Namun, sebagai manusia, ada ketikanya saya tertewas jua oleh nafsu amarah yang akhirnya, di pihak saya berkesudahan dengan penyesalan... Hakikatnya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, dan manusia mana yang tidak pernah melakukan kesalahan...? Maka, di ruang maya ini, andai ada insan yang bergelar "anak didik" atau "murid" kepada saya, Cikgu Ani BP, saya pohonkan berjuta-juta kemaafan daripada kalian...Tiada yang lain, niat di hati hanya ingin melihat kalian berjaya, cemerlang, gemilang, terbilang!

HAKIKAT KEHIDUPAN

Menjadi pendidik pada era digital ini banyak cabarannya. Lantaran terlalu banyak terdedah oleh kemajuan,generasi muda kini adakalanya lebih 'terkehadapan' berbanding dengan generasi kapur tulis dan papan hitam. Bukan calang-calang orang yang mampu menggalas pelbagai tugas dalam satu-satu waktu seperti para guru. Mencurahkan ilmu, membimbing pelajar dan menegur salah laku merreka,melaksanakan tugasan-tugasan yang di luar bilik darjah dan banyak lagi...;antara tugasan kami. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.Sebagai khalifahNya, redalah kami menyahut cabaran dan memikul tanggungjawab itu kerana itu adalah AMANAH.Tapi, kalian cubalah mengerti, janganlah mencaci, mengeji,memandang remeh dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada kami. Biarkan institusi ini bergerak dalam ketenangan, usah dikocak dengan 'tangan-tangan' atau 'jari-jemari' yang rakus... Kami sayang akan kerjaya ini.Kami sayang akan anak-anak didik kami!

KENANGAN... Oh, indahnya!

Semasa zaman kanak-kanak, cita-cita saya bukanlah menjadi guru, tetapi mahu menjadi peguam.Sebenarnya, saya sendiri pun tidak tahu kerja peguam itu bagaimana, tetapi saya suka nak jadi... Masa beredar, saya menamatkan zaman persekolahan sehingga tingkatan 6 di Banting, Selangor. (Teringat pula akan rakan-rakan lama saya (Ayang) seperti Suffiah (Acik), Saadiah(Anje), Kak Faridah, Kak Samsiah, Roslan, Affan, Mujmal, Ma'arof, Sakinah dan lain-lain...Apa khabar kalian sekarang ?)Ketika itu, minat untuk menjadi guru mula bercambah. (Aduhai, teringat pula akan cikgu-cikgu saya pada era 80-an dulu; Cikgu Azizah,Cikgu Selamat,Cikgu Sariah,dan lain-lain..) Kenangan mengusik perasaan! Minat ini terus melekat di sukma sehinggalah saya tamat pengajian di UKM dan UM dalam bidang pendidikan. Maka, jadilah saya cikgu, Cikgu Ani, BP dari 1988 hinggalah sekarang. Saya berusaha dan Allah menentukan. Sememangnya, itu takdir-Nya.
Bertaubatlah sebelum terlambat...

Hanya Untukmu

Hanya Untukmu
Selamat Hari Lahir...

Realiti: Lalu Lintas Blog

Total Pageviews