18 September, 2009

GEMBIRA, RIANG RIA...



Alhamdulillah, semua anak dah selamat kembali ke rumah... Meriah apb semua berkumpul. Hingar-bingar jadinya. Lepas sahur, tidur semula. Nak kejutkan semula, peh, susahnya! Kenalah banyakkan bersabar. Bukan selalu dpt berhimpun begini. Pada hari2 biasa, di rumah tinggal 4 orang. 2 tahun dari sekarang mungkin tinggal aku dan suami shj. Adatlah tu.... terimalah hakikat kehidupan...

14 September, 2009

DEMAM...

Tak sihat... Demam. Siapa yang tak sihat dan demam? Akukah yang dimaksudkan itu? Oh, bukan aku.. tapi sebaliknya hubby kesayanganku.. Batuk-batuk , panas badan..dan kini berselimut kerana demam. Kasihan abang... kasihan aku, tiada teman untuk bercerita... Malam Ahad yang lepas dia dan kira-kira 20 orang lagi di tmn perumahanku bergotong-royong mengacau dodol. Kerja mengacau tu habis pada pukul 3 pagi tapi suamiku balik jam 2.15 pagi. Agaknya kerana berembun dan banyak guna tenaga tu yang menyebabkan dia jatuh sakit.. Wallhualam... tapi doaku agar abang cepat sembuh...amiin..!.

13 September, 2009

TETAMUKU LAGI...

Alhamdulillah, pada penghujung bulan Ramadan kali ini rumahku dikunjungi tetamu lagi. Kali ini Syue pula mmbawa 2 orang temannya, Elina dr. P.Pinang dan Izati dr Terengganu ke rumah. Malaikat rahmat datang lagi ke rumah kami... Kali ini aku tdk begitu sibuk masak kerana giliran abg Yusof pula 'munjung'...Alhamdulillah...
Tapi, utk sahur kenalah juga memasak...alahai, yg ringkas2 je... Depa bertiga pulak sempat bakar kek... kek coklat cip dn kek batik. Ok juga rasanya...

09 September, 2009

MISTERI HARI RABU...



Hari ini,
entah mengapa fikiranku kacau sekali...
Ada asasnya...
Sukar untuk diceritakan kepada sesiapa...
Biarlah aku sendiri menelannya...
Biarlah aku yang merana
Biarlah aku yang sengsaraBiarlah, biarkan...
Biarkan si Luncai terjun dengan labunya...
Eh, jangan!!!
Kesian dia. Lemas nanti!
Biarlah hari ini terus menjadi MISTERI.

08 September, 2009

DRAMA SEBABAK "CAMPAK"

Pukul 6.01 petang telefon berdering... Asyraf yang sedang menyukat beras untuk menanak nasi pun berkejaran ke ruang tamu untuk menjawab panggilan itu...(hinggakan bertaburan beras di atas lantai!)
"Assalamualaikum, siapa di sana, Asyraf hensem di sini.."
"Muhammad, siapa telefon tu?" kedengaran satu suara yang familiar  bagi famili itu bertanya.
"Abang Hadi nak cakap ni, bu...,"katanya.
"Hello, bu, Hadi kat bus stand B.Pahat ni.... "
"Eh, Di, cakaplah betul2," kata si emak yang mula suspens.
"Ya lah bu, Hadi demam,cikgu suruh balik. Doktor kata Hadi kena campak."
"Ha, campak???  Campak ke mana ? Biar betul!" kata emaknya lagi.
"Hadi kena demam campaklah bu..."
"Oh, ye ke...! Ok, kejap lagi ayah ambil ya... duduk diam2, jangan main lari2..." (dialog palsu ni..)


Alkisahnya, Hadi demam campak. Lalu langkah-langkah pencegahan kepada penghuni yang lain dan rawatan awal kepada Hadi pun segera kuambil tatkala dia melangkah masuk ke rumah. Mudah-mudahan cepat disembuhkan Allah penyakitnya agar dapat dia kembali ke sekolah semula... Amiiin!

06 September, 2009

TETAMU DI RUMAHKU - KAWAN-KAWAN HADI

Hari Jumaat yang lalu Hadi balik ke rumah. Kali ini dia tidak bersendirian, sebaliknya membawa tiga orang rakannya; Syazmi, Haziq dan Harith dari Terengganu, Kedah dan K.Lumpur. Ada projek Bio katanya. Oklah, mak tak kisah... Kalau dah ada tetamu, maklum sahajalah kesibukannya... Kak Nor tak datang pula pd Jumaat untuk mengemas rumah...Abang pula mesyuarat RO PMR dua hari... Berat ni... Tapi, Alhamdulillah, permata bonda yang belajar di JB tu pulang juga... ringanlah sedikit bebanan yang ditanggung... Hari pertama, order nasi beriani power dari bazar ramadan. Hari-hari seterusnya, masak nasi himpit dengan aksesori yang lengkap, goreng nasi, dan goreng mihun. Ada dua jenis kek sempat dibuat dengan kerjasama Syue; kek batik dan coklat moist. Kawan2 Hadi pula baik tingkah lakunya, sedap mata memandang. Tak risaulah jika Hadi berkawan dengan mereka... Insya-Allah... Ok, jumpa lagi!

02 September, 2009

HARI-HARI TERAKHIR UNSER MERAH

Petang tadi, sahabat suamiku datang ke rumah untuk mengambil dokumen2 aku yang tertentu dan memandu Unser kami ke tempat bakal pembeli. Perbincangan yang panjang lebar telah pun dibuat antara aku dan suamiku serta anak-anak. Nampaknya, semua sudah bersetuju untuk menukar Unser dengan kereta baru... Tapi, kereta jenis apa ya? Biarlah rahsia... Mungkin dua minggu lagi kami akan menggunakan kereta baharu itu. Insya-Allah... Bukan hendak bergaya, tetapi memandangkan usia Unser itu telah mencecah 8 tahun, maka sudah sampai masanya 'ia' ditolak. Unser, meskipun telah banyak jasamu kepada kami, kauterpaksa pergi jua... Selamat jalan....

31 August, 2009

RAKAN FB

Hari ini mencatat rekod tersendiri bagiku kerana mengisi masa dengan mengirim mesej kepada rakan2 baru dlm FB. Wah, satu kejutan buatku! Ada yang baik sopan bahasanya, ada yang kesat... Sukar untuk mempercayai itu orang Melayu yg beragama Islam yang terkenal oleh budi bahasa dan nilai-nilai murni yang luhur...Kalau benarlah al-Quran jadi pedoman, Sunnah jd ikutan, mereka takkan sanggup berkata begitu...Tapi, itulah hakikat kehidupan pada zaman siber ini, semuanya di hujung jari... Maka kelak, hujung jari inilah yang akan menjawab segala yang kita klik atau taip atau tekan pada hari perhitungan kelak... Bagaimanapun, bersembang dgn rakan dlm FB hanya untuk mengisi masa terluang dan mengasah ketajaman akal berfikir... Pada akhirnya, al-Quran juga yang tetap di hati, dibaca , dihayati, dan diamalkan sehabis daya... Insya-Allah...

29 August, 2009

BALIK KE KAMPUNG..

Petang ini keluargaku dijadualkan akan balik ke kampung, ke rumah ibu mertuaku. Tempatnya tak jauh..., adalah sepelaung kata orang tua-tua.. Sebelum pergi, kenalah masak terlebih dahulu untuk dibawa balik nanti. Nak masak apa ya? Hmmm... sambal udang..sedap juga tu! Cik Nah sekeluarga pun akan balik juga. Mereka dari Kulai khabarnya. Wah, tentu meriah jadinya! Dah rasa suasana raya pula... Inilah kali pertama berbuka di kampung untuk tahun 2009 ini. Berbuka di kedai, baru sekali. Di rumah... hari-hari kecuali 2 hari tadi. Kalau hari sekolah, kami berbuka 4 orang. Hujung minggu, ahli akan bertambah menjadi 5, 6 atau kalau semuanya ada,7, seperti pada hari ini.Alhamdulillah , seronok...

26 August, 2009

TAK SIHAT...

Aduh...! Hari ini aku diduga oleh-Nya.. Sakitnya perut ini hanya Dia yang mengetahuinya.. Angin ribut di dalam badan mengalahkan taufan Morakot yang melanda Taiwan baru-baru ini. Kucuba gagahkan diri... uh uh..! Aku tak kuat, lantas air mata berguguran di depan Dr Hashim dari salah sebuah klinik swasta di BP yang kemudiannya menusukkan jarum menyuntik lenganku... Alhamdulillah beberapa ketika kemudian, sakit beransur lega. Pada hari ini juga Gen2 kesayanganku, yang buat hal seminggu yang lalu dihantar ke pusat servis Eon. Penyakit yang sama, menggigil2, mati enjin dan bla bla bla... Dah tiga kali kamu buat hal Gen! Kaumengopakkan dompetku... Tapi, Alhamdulillah, tak banyak, seciput je... Sekarang, semua dah ok...

25 August, 2009

SELAMAT BERPUASA

Hari ini hari yang keempat umat Islam berpuasa. Puasa menduga keimanan kita. Tahap kesabaran kita juga diuji. Banyakkanlah berdoa kerana dengan doa, segala yang akal kita kata tak mungkin terjadi, akan berlaku dengan kehendak-Nya. Banyakkan beramal kerana pahalanya digandakan pada bulan ini. Meriahkan rumahmu dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Isi malammu dengan solat tarawikh dan mencuba bangun pada sepertiga malam untuk menunaikan solat-solat sunat yang lain. Manalah tahu, kut-kut dapat pula bertemu dengan malam lailatul qadar... Terus berharap. Bersedekahlah kepada mereka yang memerlukannya. Wahai diri, lakukanlah semua itu.... Insya-Allah.

28 May, 2009

UMRAHKU KERANA-MU

3 Jun ini akan berangkatlah saya ke tanah suci Makkah bagi menunaikan umrah bersama-sama suami tercinta. 5 permata hati ditinggalkan di bawah jagaan dan perlindunganNya. Tawakkal. Perasaan ini bercampur baur; takut, teruja, berdebar... Selalunya cerita didengar daripada rakan yang kembali daripada mengerjakan haji atau umrah ataupun daripada pembacaan buku, kitab, internet dan menonton rancangan yang berkaitan di televisyen. Beberapa hari lagi saya sendiri yang akan bercerita pula. Cerita kepadaNya. Mengadu kepadaNya. Meminta daripadaNya. Total. Ya Allah, Kau redailah perjalanan ini. Akulah tetamuMu, Rabbi...

02 April, 2009

TERINGAT MASA KECIL2 DULU...

Sahabat masa kecilku menelefon untuk bertanya khabar. Norsyam, teman baik itu, kini tinggal di Perlis, Indera Kayangan ,bersaing secara sihat dari darjah 1 hingga 6, nombor 1 dan 2 sering jadi rebutan antara kami berdua...Kini dia seorang usahawan berjaya, anak-anak sudah besar panjang dan berjaya. Kenangan datang lagi... Di sekolah lama, di Kampung Kelanang, beratap genting, berdinding dan berlantai kayu kami dididik dan dibesarkan. Yang masih kuingat, cikgu Abidin, atau Sir, cikgu Jamaludin, guru kelas darjah 4 ...yang lain, maaf, tak ingat! Kawan2 yang lain, Zumainah, Parman, Rahmat (Allahyarham) dan lain-lain. Terlalu lama, 1960-an...! Kalaulah dapat berhubung lagi dengan rakan-rakan lama itu, alangkah seronoknya! Jika tidak, hanya tinggal kenangan yang sesekali menjelma dalam keadaan kelam, namun tetap indah.

27 March, 2009

AIR MATA SAHABAT.. .Berat mata memandang...

Pn. A, antara sahabat baik saya di sekolah. Tanggal 30 Disember 2008 ,beliau kehilangan insan yang tersayang iaitu suami beliau buat selama-lamanya . Saya melihat air matanya yang tumpah tidak henti-henti tatkala bercerita tentang saat-saat terakhir pemergian suaminya itu. Air matanya juga terus merembes jika mengenang kembali kisah-kisah ketika hayat Allayarham masih ada. Saya juga tidak dapat menahan sebak melihatnya, tetapi, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Di bumi Johor ini, beliau meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya bersendirian. Tabahnya beliau! Kini, air matanya tumpah lagi.. Beliau diuji lagi. Kakaknya pula disahkan menghidap kanser tahap 4 dan kini dirawat di ICU, bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan... Tabahkan hatimu wahai sahabat...

23 March, 2009

MENGHANTAR HADI KE SAMURA

Hari ini Hadi (permata hati 3) mendaftar di SM Sains Muar untuk pengambilan kedua. 109 tempat yang disediakan dan 82 pelajar yang telah mendaftar semasa taklimat diberikan oleh Pengetua, Tn Hj Samian. Lebih banyak pelajar lelaki. Bagus sekolah ini dari segi disiplin dan akademik (SPM), nombor 1 antara SBP di Johor untuk 4 tahun berturut-turut. Semoga Hadi berjaya menyesuaikan diri dan mencapai impiannya di sana.Tinggal dua lagi permata hatiku di rumah.

19 March, 2009

DIARI HATI CIKGU ANI BP

21 tahun atau dua dasawarsa atau dekad bergelar sebagai "cikgu", banyak suka duka, pahit maung, dan sepak terajang yang telah saya hadapi. Semakin lama, semuanya itu mematangkan pemikiran dan tindakan. Namun, sebagai manusia, ada ketikanya saya tertewas jua oleh nafsu amarah yang akhirnya, di pihak saya berkesudahan dengan penyesalan... Hakikatnya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, dan manusia mana yang tidak pernah melakukan kesalahan...? Maka, di ruang maya ini, andai ada insan yang bergelar "anak didik" atau "murid" kepada saya, Cikgu Ani BP, saya pohonkan berjuta-juta kemaafan daripada kalian...Tiada yang lain, niat di hati hanya ingin melihat kalian berjaya, cemerlang, gemilang, terbilang!

HAKIKAT KEHIDUPAN

Menjadi pendidik pada era digital ini banyak cabarannya. Lantaran terlalu banyak terdedah oleh kemajuan,generasi muda kini adakalanya lebih 'terkehadapan' berbanding dengan generasi kapur tulis dan papan hitam. Bukan calang-calang orang yang mampu menggalas pelbagai tugas dalam satu-satu waktu seperti para guru. Mencurahkan ilmu, membimbing pelajar dan menegur salah laku merreka,melaksanakan tugasan-tugasan yang di luar bilik darjah dan banyak lagi...;antara tugasan kami. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.Sebagai khalifahNya, redalah kami menyahut cabaran dan memikul tanggungjawab itu kerana itu adalah AMANAH.Tapi, kalian cubalah mengerti, janganlah mencaci, mengeji,memandang remeh dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada kami. Biarkan institusi ini bergerak dalam ketenangan, usah dikocak dengan 'tangan-tangan' atau 'jari-jemari' yang rakus... Kami sayang akan kerjaya ini.Kami sayang akan anak-anak didik kami!

KENANGAN... Oh, indahnya!

Semasa zaman kanak-kanak, cita-cita saya bukanlah menjadi guru, tetapi mahu menjadi peguam.Sebenarnya, saya sendiri pun tidak tahu kerja peguam itu bagaimana, tetapi saya suka nak jadi... Masa beredar, saya menamatkan zaman persekolahan sehingga tingkatan 6 di Banting, Selangor. (Teringat pula akan rakan-rakan lama saya (Ayang) seperti Suffiah (Acik), Saadiah(Anje), Kak Faridah, Kak Samsiah, Roslan, Affan, Mujmal, Ma'arof, Sakinah dan lain-lain...Apa khabar kalian sekarang ?)Ketika itu, minat untuk menjadi guru mula bercambah. (Aduhai, teringat pula akan cikgu-cikgu saya pada era 80-an dulu; Cikgu Azizah,Cikgu Selamat,Cikgu Sariah,dan lain-lain..) Kenangan mengusik perasaan! Minat ini terus melekat di sukma sehinggalah saya tamat pengajian di UKM dan UM dalam bidang pendidikan. Maka, jadilah saya cikgu, Cikgu Ani, BP dari 1988 hinggalah sekarang. Saya berusaha dan Allah menentukan. Sememangnya, itu takdir-Nya.

04 February, 2009

SALAM UKHUWAH



Alhamdulillah, akhirnya, saya berjaya menghasilkan blog.
Isinya? Apa-apa sahajalah yang terlintas di hati, tetapi benar-benar terjadi. Atas kesedaran bahawa hidup ini sementara, jadi untuk apa berpura-pura?
Mudah-mudahan, blog ini dapat memanfaatkan sesiapa jua yang yang melawatnya.
Salam Ukhuwah...
Bertaubatlah sebelum terlambat...

Hanya Untukmu

Hanya Untukmu
Selamat Hari Lahir...

Realiti: Lalu Lintas Blog

Total Pageviews