20 December, 2011

HARI KELUARGA @ FAMILY DAY (CHERATING; 16-18 DISEMBER 2011)


Assalamualaikum.

Kali ini saya nak bercerita  (menulis karangan..) tentang hari keluarga pulalah ya....

Hari Keluarga Musa dan Saliam  menghimpunkan 3 generasi Allahyarham/ Allahyarhamah abah dan emak saya. Majlis 
yang bertempat di Mercu Beach Resort, Cherating , Pahang ini sederhana tetapi meriah sunggguh. Saya sekeluarga terpaksa bertolak dari B.Pahat lebih awal daripada yang lain kerana mengambil kak Long dan Hadi di kampus masing2. 
      Menempuh hujan lebat di pertengahan jalan menyebabkan timbul kebimbangan di hati kalau2 jalan menuju ke destinasi dilanda banjir . Alhamdulillah, walaupun terpaksa melalui jalan yang ditakungi air, akhirnya sampai juga kami di resort itu kira2 pukul 4.30 petang. Along Linda sekeluarga serta adik2nya dan keluarga masing2 , abang Zahar sekeluarga, k.Lang dan anak2 serta cucunya telah pun sampai. Yang masih belum sampai Linda, Onie dan Khairul dengan keluarga masing-masing.
Ramainya kanak2! Ke sana sini berkejar2an, sambil menjerit keriangan. Walaupun hujan, mereka tetap mandi-manda di dalam kolam renang di depan chalet. Anak siapalah tu...? Merekalah cucu-cucu saudara saya! Dah tua rupa2nya saya! Haha! 
     Macam2 acara diadakan sebagai aktiviti Hari Keluarga ini. Malam pertama, acara perasmian. Tak sangkalah pula saya kena menyampaikan ucapan... Hentam sahajalah labu...!  Saya tertarik dengan cadangan Pengerusi (Wahab) tentang penubuhan koperasi keluarga kami. Bagus ideanya jika berjaya dilaksanakan. Ada tayangan video tentang salasilah keluarga, permainan teka simpulan bahasa menggunakan bahasa isyarat dan acara tukar2 hadiah. 
Esoknya, acara sukaneka . Syuhada jadi AJK bahagian ini. Ada 3 kategori iaitu untuk kanak2, remaja dan dewasa serta kategori khas untuk pasangan suami isteri. Hmm...bagus! Tapi saya taklah menyertai semua acara tersebut. Adakalanya, saya dan suami keluar ke bandar yang berdekatan seperti Gebeng kerana hal tertentu dan ada ketikanya pula suami tertidur keletihan semasa acara sedang dijalankan. Maka, saya hanya mendengar anak2 dan anak2 buah seronok bercerita tentang acara yang dah berlangsung..
 Malam kedua,  barbeque @ BBQ ayam dan ikan cencaru. Seronok melihat kerjasama yang ditunjukkan anak2 saudara dan cucu2 saudara saya tu... Tiupan angin pantai terlalu kencang maka untuk mengelakkan bara api daripada terpadam, macam2 cara mereka lakukan. Nazri terpaksa  menggunakan tuala untuk menghalang tiupan angin. Akhir sekali, selepas makan, upacara penyampaian hadiah. Yang paling seronok tentulah anak-anak kecil.
     Cuaca pagi Ahad masih lagi mendung. Bermula dengan hujan rintik2, dan bersambung dengan hujan yang agak lebat. Tiba-tiba, lima beradik (anak2 saya!) berlari dengan lajunya   ke arah kami yang sedang berbual-bual. Rupa2nya sedang mereka bergambar sakan di pantai, hujang turun dengan lebatnya menyebabkan mereka terpaksa berlari dengan laju ke dewan makan resort yang agak jauh dari pantai. Bagaimanapun, peristiwa yang paling mencemaskan ialah apabila Ida (isteri Emi, anak saudara saya) berlari2 sambil menangis  datang ke arah Wahab dan mengadukan sesuatu. 
Suspens betul! Kami berkejar ke arah biliknya kerana menyangka berlaku perkara yang buruk... Dua orang anaknya (seorang bayi 3 bulan) terkunci dari dalam. Memang mendebarkan.  Alhamdulillah, pintu sliding berjaya ditolak oleh Iwan (anak saudara) dan anaknya selamat.
     Pukul 9.30 pagi- masa untuk bertolak pulang. Pada asalnya nak balik pukul 7 pagi sebab nak menghantar k.Long dan Hadi ke kampus, tapi tak jadi pula sebab kelas Hadi petang Isnin, manakala k.Long pula, tuang.... Jadi kami sekeluarga pulang ke Batu Pahat. Moga bersua lagi pada tahun hadapan. Insya-Allah.  :)       
   
     

Hadiah saya (Drp Along Linda)
Yang dihormati....bla bla bla....
Acara untuk kanak-kanak

BBQ: .Apa yang penting? Tentulah, KERJASAMA!!!!
Sebelum kehujanan....
Lelaki dewasa bersedia untuk acara teka huruf....


Pertandingan mencari duit syiling di dasar kolam...
Acara 'Jalan Gorila'..
Menyampaikan hadiah...

Gambar kenang2an...

    

13 December, 2011

KAWAN MAYA KE ALAM NYATA & CUTI-CUTI MALAYSIA....

Assalamualaikum...

Saya dan suami menjadi ahli bagi salah satu grup dalam FB. Grup itu diberi nama "Kempen 24 Jam Himpunan 100,000 Warga Guru Sempena Hari Guru 2011" (tajuk panjang) atau ringkasnya K24J. Selama menyertai grup ini, kami hanya kenal rakan2 guru secara maya, tapi dua pertemuan yang diadakan sebelum ini di Perak memberi inspirasi kepada ahli2 grup bagi zon selatan dan tengah untuk bertemu . Hasilnya, perbincangan selama 5 hari  antara suami saya dan Mohd Khamsuldin serta Saadiah Abd Razak selaku tuan rumah dr Melaka mempertemukan kami  yang dari Johor, Melaka, dan Selangor  dalam suasana yang meriah dan mesra... Tengoklah gambar-gambar ni sebagai bukti...he2!

Ahli Grup Wanita -BDK -Pn Azila, Anida, Hayati Hamid
DDK - Isteri C.Yahya, Haryati Hamid, saya, Lily Ely dan Saadiah
Di belakang sekali, anak dara Harrison....
Sempat buat banner tu.....
Kaum hawa makan2 sambil berbual dan bergambar...

Gambar beramai2 untuk kenang2an....

Esoknya (12.12.2011), saya dan keluarga meneruskan percutian di Melaka. Walaupun dua orang anak tiada bersama, tak mengapalah. Dah berada di Melaka ni, sayang pula rasanya nak balik terus ke B.Pahat kerana hari masih terlau awal... Nak ke mana ya? 
 Mula2 ke Restoran Subaidah, tempat asal pertemuan yang dirancang.. Oh...restoran mamak rupa2nya! Hmmm....saya tak bersarapan, duduk memerhati anak2 dan suami menikmati roti canai dan roti tisu mamak tu...:)


Di depan Restoran Subaidah

Lepas tu, ke Planetarium Melaka. Tak ada pengunjung  lagi! Haha! Pagi sangat rupa2nya kami sampai... Jumlah bayaran masuk untuk 5 orang RM34.00. Oklah tu... Banyak maklumat tentang sains angkasa yang diperoleh dengan lawatan tersebut.


Di pekarangan Planetarium dengan Aiman, Syuhada dan Asyraf
Di pintu hadapan 
Nak turun...Dah habis lawatan...

Seterusnya, suami mengajak saya ke Umbai, gerai ikan bakar yang terkenal di Melaka. Tapi, sampai di situ, satu gerai pun tak buka lagi! Siapalah yang nak bakar ikan pagi2 tu...haha!

Di depan mata kami terbentang Selat Melaka...Tiba-tiba, terpacul daripada mulut suami saya, "Kita pergi Pulau Besar, nak?"
Ok, jadi!!!!
 
Hmmm...ngeri juga masa naik bot laju menuju ke P.Besar tu... Sampai di Pulau Besar, kami makan di gerai yang pertama. Bukan makan apa sangat...,makan Maggi...haha! Tapi isunya di sini, 4 cawan maggi kari dan 5 gelas/ cawan minuman, harganya RM28.00. Lumayan tu! Tak apalah...mengambil kira kos pengangkutan, saya halalkan....:)

Muka cuak saya semasa bot laju membelah selat...

Bersantai dengan Asyraf....



Dah nak balik ke Batu Pahat....
Selamat tinggal Melaka Bandaraya Bersejarah!

10 December, 2011

KHASIAT AIR ZAM ZAM

Sudah dua hari saya sakit perut dan lenguh2 di kaki. Ke farmasi sudah, ke klinik pun sudah.Minyak Hurix dan Dakam pun sudah saya sapukan.
Tapi, sakit tak baik2 juga. Ketuk2 perut, lompang...banyaknya angin!!! Semasa begerak ke sana sini, tak terasa sakitnya, tapi apabila nak berehat je, aduh, sakitnya...! Dua penyakit menyerang dalam satu masa. Hmmm...hanya Allah yang tahu...
Entah mengapa, petang itu, menjelang waktu Maghrib , ketika saya sedang duduk terbongkok-bongkok menahan sakit, terpandanglah saya akan air zam zam yang ada di atas meja ruang tamu ni.... Saya sudah maklum akan kehebatan air zam zam. Mengapa saya tidak terfikir untuk menggunakan air zam zam sebagai ubat, sedangkan kehebatan air ini telah dinyatakan di dalam al-Quran dan telah diperakukan kesahihannya oleh ilmuwan Islam dan saintis dunia.


Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz  -rahimahullah- pernah ditanya, “Apakah ada hadits sahih yang menjelaskan mengenai khasiat air zam-zam?”
Beliau –rahimahullah- menjawab, “Telah terdapat beberapa hadits shahih yang menjelaskan mengenai kemuliaan air zam-zam dan keberkatannya.
Dalam sebuah hadits shahih, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyebut air zam-zam,
إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ
Sesungguhnya air zam-zam adalah air yang diberkati, air tersebut adalah makanan yang mengenyangkan.”[2]
Ditambahkan dalam riwayat Abu Daud (Ath Thoyalisiy) dengan sanad jayyid (bagus) bahwa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallammengatakan,
وَشِفَاءُ سُقْمٍ
Air zam-zam adalah ubat dari rasa sakit (ubat penyakit).
Maka, dengan keyakinan yang teguh, saya pun, menuangkan air zam zam ke atas tapak tangan lalu menyapunya pada kaki sebelah kanan sambil berselawat. Seterusnya kaki sebelah kiri pula. Saya yakin bahawa sesungguhnya, Allah mendengar rintihan saya kerana Allah Maha Pengasih. Saya mengurut2 kaki yg lenguh. . Dan yang terakhir, perut yg penuh gas itu pula saya lumurkan dengan air di tapak tangan.

Dengan izin Allah, beberapa minit kemudian, semua kesakitan yang saya tanggung, hilang tiba-tiba.
Alhamdulillah...Ya Allah... Terima kasih ya Allah...Banyak sungguh nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku...

"Memohon kepada-Nya semua yang di langit dan di bumi setiap hari dalam setiap      
 urusan, Maka nikmat Tuhan (Allah) kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
                 (Surah ar-Rahman:55-30)

Telaga Zam Zam Makkah al-Mukarramah



Molekul Air Zam Zam

05 August, 2011

MENGANTUK TAHAP KRONIK....







Asaalamualaikum.
Kalau baca tajuk tu, boleh agak tak masa bila keadaan sebegitu wujud? 
Mengantuknya, ya Allah, tak dapat ditahan-tahan! Pelbagai usaha dan kaedah telah dijalankan, tapi semuanya gagal... Penyelesaiannya, apa lagi, tidurlah....!  Tapi, kalau nak tidurpun, tengoklah kesesuaian situasi....

Ok, berbalik kepada soalan pertama, bila masanya? Kalau saya, sebagai guru, yang paling saya mengantuk ialah semasa menjaga kelas peperiksaan. Masa mengajar tak sempat nak mengantuk, semua anggota jaga.
Tapi kalau masa pelajar menjawab soalan ujian @ peperiksaan, itulah saatnya yang paling mencabar. Buatlah apa-apa sahaja untuk mengatasinya, tetap tak berjaya! Akhirnya...Hey, jangan kata saya tidur! Saya tak tidur di kelas, saya tetap akan melawan....Saya bukan seperti cikgu Shaari ya! haha!

Situasi lain, masa saya menghadiri kursus ketatanegaraan (BTN) di Kota Tinggi pada tahun 2004. Ceramah yang disampaikan gagal menarik minat dan tumpuan saya. Sebabnya, isi ceramah sudah saya ketahui dan penyampaian penceramah yang kurang  ummph! Saya menulis, saya makan gula-gula, minta izin ke tandas untuk mencuci muka dan berjalan-jalan di luar bilik ceramah untuk menyedut lebih banyak oksigen, tapi...hampeh! Yang menyebabkan saya segar kembali ialah apabila pen saya terjatuh ke lantai dan saya terkejut. Rasanya ketika itu semua mata memandang saya...Saya malu.(perasan!) Moral daripada cerita ini, sebagai guru, saya kenalah mengambil pendekatan yang sesuai untuk mengelakkan murid-murid saya mengantuk atau tidur di kelas.

Satu lagi kes ,mengantuk yang kalau tidak ditangani dengan berhemah, memang akan mengundang padah. Na'uzubillah. Memandu dalam keadaan mengantuk, atau mengantuk semasa memandu. Itulah yang saya alami. Jarak pemanduan, taklah jauh sangat,  dari Batu Pahat ke Kluang pergi dan balik . Saya memandu dalam keadaan mengantuk, sangat mengantuk! Masa pemanduan, dari  pukul 1-3 petang. Pertama, semasa melawat Aiman di asrama dan membawa barang-barangnya yang tertinggal. Kedua, semasa  mengambilnya untuk pulang bermalam. Beberapa kali saya berhenti di tepi jalan untuk berehat. Hilang sebentar dan apabila saya memandu semula, ya Allah, mengantuknya!!!! Beberapa kali juga saya terbabas  ke lorong yang bersebelahan...Dua kali saya brek mengejut di persimpangan lampu isyarat...Sesungguhnya, Allah masih menyayangi saya...Alhamdulillah! Moral daripada cerita ini, jangan memandu jika mengantuk dan ingatlah yang tersayang...


Sebab-sebab memandu :

Menghantar samping Aiman, ...
Suami terpaksa menghadiri majlis rasmi...
Aiman nak makan KFC...


Semasa memandu:

Sedang memandu....


Mematuhi peraturan had laju...

Terlebih sedikit sahaja....


Sepanjang jalan kenangan...

Setelah sampai:



Aiman mula menikmati ayam  goreng KFC...

Sambung makan di kantin...


Kucing pun nak makan....(garang ni!)
















01 August, 2011

PUASA, JANGAN TAK PUASA!!




Assalamualaikum.

Alhamdulillah, kita mula berpuasa pada hari ini. Allah masih memberikan ruang dan peluang kepada kita untuk mengaut sebanyak-banyak pahala atau ganjaran sepanjang bulan ini. Ikhlaskan hati dan sucikan jiwa ; segala ibadah yang dilakukan hanya kerana Allah.

Hari pertama berpuasa pada hari ini, saya bangun pukul 4.15 pagi. Terlebih 15 minit daripada masa penggera pada telefon bimbit saya. Sebelum itu saya sudah terjaga beberapa kali, tapi rasa berat pula mata nak dibuka, mungkin kerana minda sudah diset untuk bangun pada pukul 4.00 pagi. Maka beroperasilah saya di dapur ; bunyi gedebak gedebuk dan  berdengkang-dengkung dari dapur saya memecah hening pagi... Ya, suasana di taman perumahan agak sepi.. Mungkin mereka sudah selesai bersahur atau masih belum tersedar daripada lena.... 

Masakan dah siap. Sambal udang, sambal sardin (untuk Aiman yang tak makan udang...), dan sayur sawi masak bening...
Tiba-tiba Aiman  muncul di dapur. 
"Bu, Aiman terjaga pukul 3.00 pagi tadi ...," kata Aiman.
"Ya?" jawab saya pendek lalu terus mengarahkan Aiman supaya mengejutkan ahli keluarga yang lain.
Mula-mula, kejutkan Kak Long, untuk buat air, tapi yang bangun suami saya.. Yang terakhir bangun, Asyraf. Bukan main susah nak mengejutkannya. Saya sempat membunuh seekor nyamuk yang kekenyangan pada tangannya. Tidur lena betul dia!

Kali ini, hanya 5 orang ahli keluarga  yang dapat bersahur bersama-sama. Yang tiada tentunya Syuhada dan Hadi. Terfikir juga, apalah yang dimakan oleh anak-anak saya berdua tu... Memang terasa ketiadaan mereka. Ini gambar yang saya postkan di wall (FB) Syuhada dan didedikasikan juga untuk Hadi. Comel ya?



 Sahur kami tetap meriah dan ceria; kami berbual dan sempat juga saya, suami dan Aiman berbalas2 pantun. Pantun 2 kerat dan untuk suka-suka sahaja. Asyraf menyumbangkan serangkap pantun. Wahida pula membisikkan pantunnya pada Aiman. Haha! Esok tak tahulah macam mana keadaannya....










 

30 July, 2011

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan Al-Mubarak...!



Assalamualaikum.

Pejam celik, pejam celik akhirnya kita bakal bertemu dengan Ramadan al-Muabarak sekali lagi. Kerana kasihnya Allah kepada kita, dapatlah kita dipertemukan dengan bulan yang amat dinanti-nantikan kedatangannya kerana terkandung seribu rahmat.  Insya-Allah, pada Ramadan kali ini, azam saya adalah ingin  meningkatkan amal ibadat sama ada dari segi kuantiti mahupun kualitinya, dan menjauhi perkara-perkara yang bakal mengurangkan pahala puasa. Insya-Allah. 

Di sini ada bahan bacaan tentang fadilat Ramadan untuk santapan minda dan rohani kita bersama. Selamat berpuasa.

    Kelebihan Ramadan
  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :
    1. (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :




      (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w)  pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada  umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
  • Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
    • - Apabila  dia berdiri maka berdoalah hamparannya :  (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani  tebal kepadanya di dalam syurga)
    • - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
    • - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut  (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
    • - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)
    • - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)
    • - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya:  ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)
    • Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
  • Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)
    • Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
    • Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
    • Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
    • Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
    • Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
      • Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
      • Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
    • "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)
    •  
    • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
    • "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
    • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam  syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya  hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat  dari pagi  hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
  • Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang  salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkatmaka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
  • Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith). - .


18 July, 2011

SELAMAT BERJUANG , ANAK-ANAK DIDIKKU...



Assalamualaikum semua!
SMKTA sepi selama beberapa hari....
Mengapa? Apakah yang sedang berlaku di sini?



Oh, jangan bimbang! Tiada apa-apa yang menggusarkan yang berlaku di sini.
Sebenarnya, mulai hari ini , 18  hinggalah 21 Julai 2011, waktu P&P di sekolah ini digantikan dengan Penialaian Kurikulum kali ketiga. Itulah sebabnya suasananya sepi daripada suara para pendidik menunjuk ajar atau mencurah ilmu kepada para pelajar dan tiada kedengaran riuh  suara pelajar memberikan jawapan atau berbincang tentang pelajaran atau bising kerana berbual sesama sendiri ketika pertukaran waktu sesuatu mata pelajaran. Ujian pada kali ini hanya melibatkan pelajar tingkatan 1, 2, 4 dan 5. Pelajar tingkatan 3 dikecualikan daripada menduduki  ujian.

Sekali lagi mereka diuji ; sama ada mereka telah menguasai isi pelajaran atau sesuatu kemahiran yang cuba diterapkan kepada mereka atau tidak. Kasihan juga rasa hati ini melihatkan mereka . Hari Khamis yang lalu, diadakan Kejohanan Olahraga Tahunan. Pada hari Jumaat pula, iaitu selepas waktu rehat, diadakan pula majlis perpisahan untuk mantan Pengetua SMKTA, Pn. Hjh. Noriah Nasir. Tentunya ada di antara mereka yang sibuk membantu guru membuat persiapan untuk dua majlis tersebut. Selepas itu, terpaksa pula berjuang membuat persiapan untuk ujian bagi memastikan mereka dapat memberikan jawapan yang tepat atau terbaik bagi setiap soalan yang dikemukakan.

Apa yang hendak dikata, itulah rencah kehidupan dan perkara lumrah bagi seseorang pelajar. Mahu atau tidak mahu, mereka terpaksa juga menempuhnya. Kalau berjaya, Alhamdulillah, syukur...tetapi jika sebaliknya pula yang berlaku, usah takut menghadapi kenyataan. Jika pelajar ditegur atau dimarahi kerana kesilapan-kesilapan jawapan yang dipersembahkan, terimalah dengan reda. Jika pelajar  diarah supaya membuat pembetulan, sekali, dua kali atau beberapa kali pun, akur sahajalah. Janganlah mengomel dan janganlah sekali-kali diluahkan rasa tidak puas hati itu kepada pihak ketiga, yang tiada kaitan dengan kita, warga SMKTA. Guru ikhlas memberi, kalian pula hendaklah ikhlas menerimanya.

Akhir kata, selamat berjuang wahai anak-anak didikku sekalian! Cikgu doakan moga kalian berjaya ; lulus dengan cemerlang.  SMKTA BOLEH!!!!



Pelajar sedang menjawab soalan (BM)

Pelajar mula menjawab soalan (Sejarah)




17 July, 2011

RUTIN HUJUNG MINGGU



Sudah menjadi lumrah bagi ibu bapa yang anak-anak mereka masih di bangku sekolah, hujung minggu bagaikan sudah termaktub menjadi milik anak-anak mereka.Bagi anak-anak yang masih tinggal bersama dengan keluarga, hujung minggulah masa untuk meriuhkan suasana di rumah. Riuh oleh suara si ibu yang mengarahkan itu dan ini yang  dianggap 'membebel' oleh anak-anak; riuh dik suara adik menangis kerana disakat oleh si kakak atau si abang dan sebagainya... Memang 'happening; kata Mat Salleh...:)

Bagi mereka yang anak-anaknya tinggal di asrama pula, hujung minggu ialah masa untuk .menlepaskan rindu  kepada anak-anak setelah tidak bertemu kira-kira 2 minggu atau ada yang tidak berjumpa dengan anak masing-masing selama sebulan  dan ada yang lebih dari itu... Kalau anak itu belajar di sekolah yang tidak jauh dari rumah, itu tidak mengapa. Tapi cuba bayangkan jika seorang belajar di utara Semenanjung, manakala anak yang lain pula menyambung pengajian di selatan.... Berhujung minggu di atas jalan rayalah nampaknya ibu bapa berkenaan. Oleh itu, seharusnya ibu  bapa merancang  perjalanan dan pertemuan dengan anak-anak, supaya dapatlah mewujudkan situasi MENANG-MENANG...

Ok, sekarang tibalah masanya untuk bercerita tentang kegiatan hujung minggu saya pula... Ketika ini, saat saya sedang mengemas kini blog ini, saya berada di dalam kereta.dalam perjalanan Jasin untuk melawat anak yang ke-4, Asyraf. Dari Batu Pahat kira-kira pukul 9.40 pagi. Sudah hampir dua jam di dalam kereta. Dah panas junga punggung rasanya ni, apatah lagi kalau 4 atau 5 jam dan lebih...haha! Selepas itu, hendak ke bandar Melaka  pula untuk menghantar nak ke -3, Hadi yang akan menaiki bas ke P.Jaya setelah balik bercuti hujung minggu semalam.. Tak mengapalah cikgu Ani... itulah rutin sebagai ibu /bapa selagi anak-anak masih menuntut. Kalau dah habis belajar, lainlah ceritanya pula, kan? Reda dan halalkanlah segala pengorbanan untuk mereka. Caiyok,caiyok! (Apa tu? haha!)

Hadi sudah berada di dalam perut bas Mayang Sari...
Putih...he2! Baru selesai mununaikan solat Asar di surau tol Jasin....

15 July, 2011

Selamat Berpisah ,Pn. Pengetua...




Pn Hjh. Noriah  Nasir mula berkhidmat di  SMKA pada 1 September 2009, dan menamatkan khidmat di sini untuk menyambung khidmat di SMKDS pada 16 Julai 2011. Singkatnya masa Pn Hjh Noriah Nasir di sekolah saya ini tetapi banyak kejayaan yang dicatatkan oleh sekolah hingga ke peringkat antarabangsa sepanjang beliau di sini. Apabila dipaparkan.... pelbagai inovasi cetusan idea atau yang dimotivasikan oleh beliau  menerusi persembahan multimedia; dalam hati ini terbit rasa kagum...Syabas! dan selamat bertugas di tempat yang baharu diucapkan kepada Pn. Pengetua. Moga banyak lagi kejayaan yang  diraih semasa beliau di SMKDS.


Yang ditinggalkan pula, Insya-Allah, akan teus melakar kejayaan demi kejayaan, kerana sesungguhnya SMKTA memiliki bukan sahaja pentadbir yang mantap, malah barisan pendidik , dan pelajar2 yang hebat. SMKTA Boleh!!!!!

Di sini adalah tiga keping gambar semasa majlis perpisahan yang diadakan pagi tadi, tetapi kualiti gambar tak begitu baik, maklumlah, jurugambar tak begitu bersedia...he2!

Pengetua membelakangi kamera....


Masih lagi membelakangi kamera....


14 July, 2011

Sukan Tahunan 2011

Hari ini sukan tahunan berlangsung. Sederhana tapi bolehlah dikatakan agak meriah. Pada kebiasaannya, kalau hari sukan macam ni saya bertugas sebagai juruacara tapi tahun ni bertukar profesion, sebagai penolong pengelola rumah sukan...Alahai, tugas di baahagian bontrot...he2!
Tapi sebelum memulakan operasi, sempat jugalah menyibukkan diri di khemah urus setia..tempat bertugas saya yang lama...
Saya  di meja urus setia.

Dah jadi AJK bahagian makanan ni, kenalah banyak bergerak... Gerakan yang pertama ialah ke restoran , tempat makan ditempah. Pekerja restoran masih bertungkus lumus menyiapkan kerja2 membungkus makanan semasa saya dan Sarimah sampai pada pukul 8.45 pagi tu...
"Katanya makan pukul 11.00 pagi, cikgu..."
Saya dan Sarimah saling berpandangan... Ini pengumuman ke pertanyaan...?
Sebenarnya, waktu rehat pukul 10.00 pagi, jadi mana masa nak bungkus makanan tu, nak diagihkan kepada pelajar dan kepada guru?
Hisy, ini tak boleh jadi...Lalu saya dan Sarimah pun bertindak menjadi sebahagian daripada pekerja restoran pada pagi ini.. Kami sama2 mengisi bungkusan makanan ke dalam beg plastik dan mengangkutnya ke kereta...hahaha!
Tolong-menolong...Gambar hiasan...

Di dewan sekolah operasi membungkus makanan (nasi tomato, muffin, coklat Cloud 9, buah lai saiz king...he2! dan air minuman selain ice blended yang boleh diperoleh di tempat jualan) bagi pasukan rumah Mawar  pun bermula. Alhamdulillah, ramai pula anak murid yang menunggu kami untuk menghulurkan bantuan...Suasana  meriah bagaikan rewang kenduri kahwin pula! Ok, beres!
Antara pelajar yang membantu...
Sibuk...
Kerja dah nak siap, Cik Siti Ruzaini pun tersenyum...

Masa mengagih pun nampaknya tiada masalah. Alhamdulillah, Ok, beres!
Hasilnya, apa yang penting????
KERJASAMA!!!!

Rumah Mawar pula muncul sebagai naib juara dalam sukan tahunan bagi kali ini. Tahniah kepada semua atlet, kepada Ct Ujai (guru ketua rumah sukan) dan semua... Tahun 2012, boleh jadi johan pula..siapa tahu?
Bertaubatlah sebelum terlambat...

Hanya Untukmu

Hanya Untukmu
Selamat Hari Lahir...

Realiti: Lalu Lintas Blog

Total Pageviews