07 November, 2012

Sakitnya Gigiku!

Assalamualaikum.
Cerita pendek sahaja hari ni (7.11.2012).Kisah sakit gigi.
Sebenarnya saya dah mula rasa sakit kira-kira dua minggu  yang lalu tapi masih boleh dimaafkan. Hari ini, sakitnya berterusan dari pagi sampailah ke petang. Berdenyut-denyut! Allah sahaja yang tahu betapa sakitnya saya ketika itu.
Sepatutnya saya menemani cikgu Zaliha untuk memeriksa situasi di UTHM yang berkaitan dengan tugas kami esok pukul 3 petang hari ni, tapi tak dapeklah den nak menolongnya... Tapi dalam pada sakit2 tu, sampai juga saya ke Kluang untuk mengambil anak di SMSJ. Itulah pengorbanan seorang ibu....
Sekarang, Alhamdulillah, legaaa tanpa ubat... Orang sakit gigi ni selalunya macam tak sedar diri; masa sakit rasanya tak sabar2 nak ke klinik, apa-apa pun doktor nak buat pada gigi, reda. Tapi, masa dah baik dan tak sakit, ...nantilah...petang sikit...atau malam nanti... Siapa tu? Sayalah! haha!
Ada rakan FB yang mengesyorkan supaya saya menggigit bunga cengkih. Ada yang suruh sapu dengan ubat gigi Sensodyne. ..Terima kasih. Saya akan mencubanya nanti. Yang pasti, doktor gigi mesti dicari...

04 November, 2012

SPM 2012 : Selamat Berjuang Anakku & Anak-anak Didikku...



Assalamualaikum.


Esok, bermulalah perjuangan anak saya, Muhammad Asyraf Mustaffa dan anak-anak didik saya di SMK Tun Aminah, Batu Pahat serta bekas anak didik saya di mana-mana di negara ini  di medan 'tempur'- peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju mereka selepas menamatkan alam persekolahan kelak. Setelah dua tahun menyediakan diri- mental dan fizikal untuk berjuang, kini tibalah masanya mereka mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang telah diajarkan.

Pengorbanan ke arah kecemerlangan  yang bukannya sedikit atau kecil, bukan sahaja berlaku di pihak mereka, malah ibu bapa dan guru-guru juga. Onak dan duri terpaksa ditempuh sebelum kelak dapat meneguk manisnya kejayaan.Insya-Allah.  Ada yang jatuh tersungkur, tertewas lantaran rapuhnya tangkai iman. Perjuangan hanya sekerat jalan dan laluan sukar mungkin menanti mereka... Moga Allah mengurniai mereka taufik dan hidayah. Bagi kalian yang masih bertahan, tabah menempuh segala rintangan, adakala jatuh, bangkit semula, menggenggam azam, fokus terarah ke mercu jaya, tahniah dan syabas!!!

Esok, hari yang ditunggu-tunggu tetap akan tiba. Esoklah harinya ; saat kalian mula menjawab soalan yang dikemukakan, ibu bapa dan guru-guru tidak betah duduk...Ada yang memanjatkan doa, malah bagi yang bekerja, ada yang mengambil cuti, menunaikan solat sunat dan berpuasa sebagai ikhtiar terakhir bagi membantu kalian...

Moga anakku, Asyraf dan anak-anak yang lain khususnya daripada tingkatan 5 Cerdas dan 5 Elit, barisan pengawas dan semua pelajar SMKTA dikurniakan kesihatan yang baik lebih-lebih lagi pada musim hujan ini, diberikan ketenangan, dipermudah oleh Allah dan bisa merungkai semua soalan yang dikemukakan dengan lancar dan mudah sekali. Moga kejayaan cemerlang di dunia dan di akhirat menjadi milik kalian. Amiin!


Inilah wajah-wajah anak didikku yang mewarnai hidupku sepanjang 10 bulan 5 hari pada tahun 2012 ini di SMKTA ...:

                                           Tingkatan 5 Elit




Tingkatan 5 Cerdas 


 

                                        Pengawas...
 


Jamuan Akhir Tahun 2012 SMKTA

Assalamualaikum.

Malam 31 Oktiober 2012 yang lalu, Dewan Srikandi SMK Tun Aminah berubah wajah. Siapa yang yang merubahnya? Tak lain tak bukan, tentunya warga pendidik dan staf sokongan sekolah ini. Dengan tema 'Black Rose Night' , warga SMKTA menunjukkan kerjasama mereka dengan berpakaian mengikut tema yang ditentukan. Namun, ada juga segelintir daripada mereka yang tidak berbuat demikian. Tak sempat nak cari baju, kut...Tetamu khas, En. Kuswandi bin Taiyem, Penolong PPD (Sektor Pembangunan Kemanusiaan).
    Nasi hujan panas, sate, puding buah dan kuih buat mengisi perut kami pada malam itu. Alhamdulillah. Meriahlah juga sambutannya, terutamanya semasa cikgu Syarifah Nurlila menunjukkan kreativitinya 'mencampuradukkan' lagu-lagu popular dengan kaedahnya yang tersendiri...Mengekek2 kami ketawa dibuatnya... Cikgu Kamariah dan Harris (walaupun bertongkat, tetap bersemangat) memang sedap suara mereka... Paling meriah, masa cabutan nombor bertuah. Kali ini saya agak bertuah, dapatlah menambah satu lagi oven elektrik di rumah... Ok, tatapilah gambar-gambar yang yang ada ni...Tak banyak, tapi bolehlah juga menceritakan suasana.

Cikgu Harris dan Kamariah berpadu suara...
Pauziah (Jee) ceria, Noraini fikir tentang apa tu?
Noraini, "Lady's of the Nitght", berdiri di antara mereka yang  bertuah...he2!
Taraa.....! Ketuhar Elektrik menjadi milikku...

Cenderamata ...


03 November, 2012

Makan-makan....

Assalamualaikum.
Sedang rajin menulis ni....:)
Bertempat di Patmah's Kitchen di Taman Maju Batu Pahat, sekumpulan guru wanita SMKTA telah menjamu selera sambil berbual-bual mesra gitu...he2!
Lupakan seketika kerja2 rutin yang bertimbun itu. Kami luangkan masa untuk menambah kejelekitan ekoran ada lebihan wang daripada program hari keluarga di Mersing tempoh hari.
Makanan yang menjadi pilihan kami ialah 'chicken chop' dan minumannya pula ikut pilihan masing2. Saya memilih minuman yang kaya dengan vitamin C iaitu jus belimbing tetapi,  dah nasib badan agaknya, makanan dah hampir habis, minuman saya tak sampai- sampai lagi...Sabar jelah...
Insya-Allah, selepas ini akan ada lagi majlis makan-makan begini. Mungkin hi-tea (teh tinggi??) di hotel Katerina pula...Tunggguuuu!!!!

                              
Sayup mata memandang...Antara rakan guru yang hadir.

                                       
Ceria... Wardah, Syahida dan Khairizan

                                       
Syafiqah dan Adibah


 
Menemani Cik Siti Rozaini yang terlewat tetapi bersebab...

Inilah jus belimbing yang ditunggu-tunggu tu...





Burger Ayam dan Ayam Goreng McD...

Assalamualaikum...
Semalam (2 November 2012), berlangsung jamuan kelas saya (tng. 5 Elit) di McD Bukit Pasir. Riuh-rendah jadinya bilik khas itu dengan teriakan "Terima kasih cikgu" oleh mereka saat saya menguak daun pintu memasuki bilik tersebut dan ketika pihak pengurusan memutarkan lagu, mereka menyanyi bersama-sama. Sambutan agak sederhana tetapi meriah. Mereka menghadiahkan sehelai tudung bling2 berserta 'brooch' - kedua2nya berwarna ungu kerana mereka dapat mengecam warna kesukaan saya itu...Terima kasih murid-muridku.♥ Moga kalian mencapai kejayaan seperti yang diharapkan dalam SPM 2012 ini.

Bergambar kenangan dengan murid2 berbangsa Cina yang ceria...
1 Malaysia...
                                                
                     Yen Sing, Hui Yin, Hui Yee , Hui Xian, Chiann Pyng...
Cenderamata daripada Ketua Kelas, Mei Shing dan penolongnya, Nur Syahida...
Amoy2 yang comel....
Syahida menyampaikan ucapan...
Gambar kenangan dengan pelajar Islam...
Hadiah - Tudung kelip2 dan kerongsang ungu..


13 July, 2012

SMM, SAPS, ULBS, PBS, LDP....

Assalamualaikum.
Sibuk. Sangat sibuk. Semuanya (SMM, SAPS, ULBS, PBS, LDP dan sebagainya) dibuat secara dalam talian (online). Dari siang hingga malam, menghadap notebook gara2 PBS. Pagi2 lagi saya dah 'online' untuk masukkan band2 tu tapi entah apa sebabnya, kata laluan @ password tak diterima lalu kena sekat sebab 3 kali percubaan yang gagal. SU PBS, Syafiqah pun menolong. Selesai satu masalah.
Nak masukkan band ni pula menuntut kesabaran.Kena kesabaran yang tertinggi. he2! Dahlah lambat, tak mesra pengguna pula tu! Kalau salah tak boleh betulkan...Aduhai! Tapi yang bagusnya, saya menjadi lebih berhati-hati...:)
 



Minggu depan dan awal Ramadan, akan sibuk lagi. Kali ini kesibukan saya sebagai SU LDP pula. Kena patuhi 'dateline' yang ditetapkan oleh PPD. Moga-moga rakan sekerja akan memberikan kerjasama  yang mantap supaya kerja saya berjalan lancar.:)
Ini punca kesibukan saya kelak....
 

30 June, 2012

Buah Kiwi atau Kiwi Kasut???


Assalamualaikum.
Bukan buah kiwi dan bukan kiwi kasut, tapi negara Kiwi...he2!
Auckland, New Zealand saya jejaki pada 28 Mei hingga 2 Jun 2012 yang lalu.
Oleh sebab anak saya akan tamat pengajiannya pada pertengahan di sana bulan November nanti, maka
saya dan suami pun ambil keputusan untuk melancong sambil melawatnya di sana.
Subhanallah! Memang cantik...Sangat cantik pemandangan di New Zealand...Tetapi, secantik-cantik New Zealand, cantik  lagi negaraku, Malaysia yang tercinta.
Ok, saya ceritakan sedikit pengalaman di sana sebelum saya paparkan gambar2 kenangan...

Sesampainya di lapangan terbang Auckland, saya dikejutkan oleh ketatnya pemeriksaan kastam terhadap penumpang dan barangan yang dibawa. Saya sudah terkena! Semuanya gara2 pai ayam yang tak habis dimakan yang dibeli di Deli France, di lapangan terbang Changi. Pai tersebut diletakkan di dalam beg sandang suami. Semasa beg saya dihidu oleh anjing pengesan, tiada apa2 masalah tetapi apabila tiba giliran beg suami, anjing tu tak nak bergerak dari situ dan terus menghidu beg suami, Gelilah saya tengok! (Saya beritahu suami, balik ke Malaysa nanti, kena samak beg ni..)Tapi, geli tu satu perkara, yang lebih mengejutkan , pasport antarabangsa saya telah diminta oleh pengawal keselamatan, dan dicatatkan nombornya. Aduhai, berat ni! Macam2lah saya disoal siasat oleh pegawai kastam yang bertugas,(You know, i have to speak in English!) Hentam sahajalah labu! Akhirnya, dalam debar, terlepaslah saya dan bagasi daripada ditahan / dirampas. Fuh, suspens!!!

Apabila keluar dari kawasan pemeriksaan keselamatan, saya lihat Angah (Syuhada) telah pun menanti.. Apa lagi, berderailah air mata ibu...he2!
Sejuknya di luar! Angin pagi Auckland menampar2 pipiku...Dingin sekali! Menurut Angah, suhu pada hari ketibaan kami ialah bawah 10 °C. Hari2 yang seterusnya juga membawa berita sejuk buat saya. :) Syukurllah anakanda saya, Syuhada ada banyak baju tebal untuk dipakai, kalau tidak, tak tahan! Walau bagaimanapun, misi makan angin mesti dijayakan...he2!
Saya simpulkan beberapa perkara yang menarik perhatian saya semasa kembara di N.Zealand:
1. Pemeriksaan keselamatan dan kastam di lapangan terbang yang ketat.
2. Kenderaan tidak sebanyak kenderaan di Malaysia, tiada kesesakan jalan raya yang berlaku.
3. Pemandu2nya bersopan, sangat bertimbang rasa kepada pejalan kaki.
4. Pejalan kaki di bandar berjalan dengan cepat.
5, Hanya sekali nampak kereta polis dan anggota polis.
6. Tandasnya, setiap masa kering, tetapi bersih dan tidak berbau.
7. Nama2 tempat dalam bahasa Maori sungguh unik; antaranya : Mamakublue...haha!
8. Rasa buah kiwi di sini sangat manis.
Dan lain-lain...

Ok, mari kita lihat gambar2 yang sempat saya rakamkan...


Cepatnya mereka berjalan! Sebab sejuk , kot...:
Lembu-lembu New Zealand yang dikatakan bermutu tinggi...

Jinak-jinak merpati, semakin kudekat, semakin 'ia' lari....

Eh, macam kawasan pendakian Taman Soga Perdana di Batu Pahat je! 

Subhanallah, bang...Cantiknya! Agaknya itu yang saya kata...

Kenangan di air terjun Whangarei

Kenangan...

Pancutan air panas (giza) di Rotorua.

Gambar kenangan dengan Syuhada di Rotorua

Jeti dan kapal di Whangarei

Pintu gerbang ke giza

Di  taman bunga ,Domain

Domain, Auckland

Di puncak Mount Eden 

Queenstreet, tempat membeli-belah...

Beli apalah agaknya dua beranak tu....:)

Nak balik dah....

25 June, 2012

KERANA-MU...

Assalamualaikum.

Kerana-Mu
Aku mampu menjejakkan kaki
Sekali lagi,
Ke rumah-Mu, Ya Allah...
Kelopak mata kurasakan dingin
Tatkala kumelihat di depanku
Hitam, pekat - Baitullah
Kulihat kalimah...ALLAH...
Aku benar-benar terkesima...

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ
Masih terngiang-ngiang di telinga talbiah mendayu-dayu dan syahdu itu.Di dalam pesawat Saudi Air lagi laungan talbiah daripada para jemaah sudah kedengaran. Sepanjang perjalanan, tak henti-henti kami bertalbiah, adakalanya hingga terlelap...Tak sabar kaki mahu mencecah bumi Makkah yang  penuh barakah..

11 Oktober 2011 (13 Zulkaedah 1432H)
Tak terungkap oleh kata-kata, betapa kerdilnya diri ini tatkala berada di depan rumah-Mu, ya Allah... Air mata menitis membasahi pipi...Kurenung Baitullah yang berada di depan mata....Aku datang ke rumah-Mu ya Allah..Kau terimalah ibadah haji dan umrahku dan suami serta para jemaah haji yang lain. Kurniakanlah haji yang mabrur dan balasan syurga-Mu, ya Rabbi...



Alhamdulillah, telah selesai tawaf...Sukanya!

Menikmati rezeki Allah di koridor di luar bilik penginapan..

Di hadapan Jamrah, setelah selesai melontar ketiga-tiga jamrah.

Bergambar kenangan dengan sekumpulan jemaah haji dari Indonesia.

Pertemuan dirancang... di depan Masjidil Haram Abang Sahak, Kak  Mai , Soleh
dan  kenalan mereka menikmatai KFC versi Arab...:)

Berehat- keletihan dan kepenatan setelah melaksanakan ibadah Sai'e.

Bergambar dengan Hajah kak Yah di dalam khemah di Mina

Bersama Hajah Kak Syam  semasa menyertai program ziarah di Jabbal Rahmah.

Di tempat pertemuan Adam dan Hawa - setelah doa dititipkan
buat  insan-insan yang tersayang

Di Jabbal Rahmah...

Malam di luar khemah di Mina, setelah berdoa dan menyaksikan
tenggelamnya matahari wukuf pada 13 Zulhijjah...

Di pekarangan Masjid Nabawi, ketika payung masih lagi terbuka
bagi melindungi jemaah daripada kepanasan duniawi..

Sudah siap berkemas untuk berangkat ke Madinatul Hujjah di Jeddah
 -bernmulalah urusan pulang ke tanah air

Dengan suami, di dalam pesawat Saudi Air...Selamat tinggal Madinah...
Moga Allah menjemput kami lagi bertemu denganmu, ya Rasulullah..

Alhamdulillah...Anak2 tersayang telah pun sampai ,menanti kepulangan kami...




Berjalan ke kereta...
Kenangan dan ingatan di Makkah dan Madinah masih kekal terpahat..

Bertaubatlah sebelum terlambat...

Hanya Untukmu

Hanya Untukmu
Selamat Hari Lahir...

Realiti: Lalu Lintas Blog

Total Pageviews